MIRI: Hasil risikan berterusan polis selama beberapa minggu membuahkan hasil apabila seorang lelaki tempatan berjaya ditahan, sekali gus menyelesaikan beberapa kes pecah masuk premis perniagaan di sekitar bandar raya ini.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah memaklumkan, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Miri sebelum ini menerima beberapa laporan berkaitan kejadian pecah masuk premis yang berlaku sejak pertengahan Mei hingga awal Jun 2026.
“Bertindak atas maklumat di lokasi kejadian dan risikan yang dijalankan secara berterusan, sepasukan anggota dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) bersama dengan Balai Polis Pusat Miri berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun pada 10 Jun 2026 sekitar 7 malam di kawasan perumahan Pujut 2,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Mohd Farhan, operasi itu turut diketuai Ketua Balai Polis Pusat Miri, ASP Goldy Jangan, hasil tindakan susulan berdasarkan perkembangan siasatan semasa.
Beliau berkata, hasil siasatan lanjut membawa kepada penemuan beberapa barangan dipercayai digunakan suspek ketika melakukan jenayah tersebut secara bersendirian.
“Antara yang dirampas termasuklah pakaian dan aksesori diri, selain satu unit gergaji kecil yang diubah suai dipercayai digunakan untuk memecahkan atau membuka paksa kunci pintu jenis ‘roller shutter’ premis sasaran.
“Siasatan turut mendapati suspek dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya lima kes pecah masuk premis perniagaan dengan modus operandi yang sama di beberapa lokasi sekitar Miri iaitu Airport Commercial Centre, Assar Commercial Miri By Pass, Mosjaya, Permyjaya dan Boulevard Miri, dengan jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM15,000,” tambah beliau.
Mohd Farhan berkata, semakan lanjut juga mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau serta berkaitan kes dadah di Miri dan daerah lain, manakala ujian air kencing didapati positif.
Suspek katanya kini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan bagi setiap kes pecah masuk, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, selain denda dan sebatan bagi kesalahan berulang.
-tamat-


