KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak menangkap seorang lelaki yang disyaki menjalankan kegiatan pengedaran rokok seludup sekali gus membawa kepada penemuan 12,900 karton rokok pelbagai jenis dan jenama yang dianggarkan bernilai RM4.6 juta.
Komander PGA Briged Sarawak SAC Lim Bak Phai berkata, suspek berusia 30 tahun itu dicekup dalam serbuan yang dijalankan oleh pasukan Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Sarawak PGA Kuching ke atas sebuah rumah di Kuching kira-kira jam 3.17 petang 19 Ogos lalu.

“Tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu beliau berkata, pasukan Cawangan Risik dan Tiger Platoon Batalion 11 PGA Kuching turut menggempur tiga buah premis di sekitar bandar raya ini yang disyaki menjalankan kegiatan menyimpan dan menjual rokok serta minuman keras seludup.
Lim berkata pasukan serbuan turut menahan empat lelaki dan seorang wanita tempatan berusia dalam lingkungan 22 hingga 40 tahun kerana disyaki terlibat dalam kegiatan itu.
“Pemeriksaan lanjut ke atas tiga premis tersebut telah merampas 1,746 karton rokok putih pelbagai jenama 154 karton rokok kretek pelbagai jenama dan 6,183.28 liter minuman keras pelbagai jenis dan jenama yang dianggarkan bernilai RM1 juta,” katanya.
Sementara itu beliau berkata pasukan Infantri Batalion 11 PGA Kuching juga menggagalkan cubaan seorang lelaki menyeludup 1.5 tan beras yang dianggarkan bernilai RM122,000.
Katanya, suspek berusia 29 tahun itu yang membawa kesemua beras tersebut menggunakan sebuah Toyota Land Cruiser ditahan di kawasan laluan tikus di Lundu kira-kira jam 6 pagi 20 Ogos lalu.
Dalam pada itu, Lim berkata pasukan Infantri Batalion 10 PGA Sibu turut menahan seorang lelaki dan wanita tempatan berusia 57 dan 44 tahun ketika cuba menyeludup 150 kilogram baja bersubsidi yang dianggarkan bernilai RM121,380.
Katanya, kedua-dua suspek yang menggunakan sebuah Toyota Hilux dicekup di kawasan laluan tikus di Sri Aman kira-kira jam 6 petang 23 Ogos lalu.
Manakala Lim berkata, pasukan Infantri Batalion 23 PGA Sri Aman menahan empat lelaki warga Indonesia berusia dalam lingkungan 36 hingga 45 tahun dalam serbuan ke atas dua buah pondok di ladang kelapa sawit di Serian kira-kira jam 5.30 pagi 23 Ogos lalu.
“Kesemua mereka didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan pemeriksaan lanjut di lokasi telah merampas tiga buah motosikal termasuk sebuah motosikal yang dilaporkan hilang,” katanya.



