ARTIKEL

Lelaki hilang, perahu sarat durian karam

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KANOWIT: Seorang lelaki dilaporkan hilang, manakala seorang lagi terselamat apabila perahu panjang yang mereka naiki karam di Sungai Kanowit hadapan Rumah Adau Baling, Jalan Bukong, Jagoi, Bunut.

Kejadian berlaku semasa mereka dalam perjalanan pulang selepas mengumpul buah durian, hari ini. 

Mangsa yang masih hilang ialah Nabau Antas, 55 dari Rumah Penny Nanga Ulin, Sungai Poi, Kanowit manakala mangsa yang terselamat ialah Bartholomew Aji Lanyau, 72 dari Rumah Adau, Nanga Bunut, Kanowit yang dipercayai mengemudikan perahu panjang tersebut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Arrahman Chik berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 10.50 pagi.

Susulan itu, jelas beliau, pasukan bomba bergerak ke lokasi dan mengambil keterangan saksi di tempat kejadian.

“Melalui keterangan saksi yang kita perolehi dari sepasang suami isteri yang menyaksikan kejadian itu, pada kira-kira jam 9.45 pagi mereka ternampak sebuah bot yang sarat dengan buah durian melintasi mereka. 

“Kemudian mereka terdengar jeritan, orang meminta tolong dan  ternampak sebuah bot yang melintasi mereka tadi telah karam kira-kira 17 meter dari tebing dan kira-kira 100 meter daripada pengkalan Rumah Adau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini (Isnin).

Rentetan kejadian itu, ujar beliau, saksi terus bergegas ke bot mangsa untuk memberi bantuan.   

“Seorang daripada mangsa telah berjaya diselamatkan yang pada ketika itu sedang berpaut pada bot. 
Mangsa yang selamat telah dibawa anaknya ke hospital untuk tindakan lanjut.

“Manakala seorang lagi mangsa terus hilang dibawa arus. Anak mangsa terus menghubungi pihak bomba untuk bantuan,” ujar beliau.

Bagi tindakan operasi, ujarnya, pihak bomba terus mendapatkan maklumat daripada saksi kejadian dan terus ke lokasi di mana lokasi bot tersebut karam dan dihanyutkan serta menjalankan operasi pencarian secara ‘surface searching’.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu disertai lapan anggota bomba, empat anggota polis dan enam anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

PERAHU panjang yang dinaiki mangsa karam.

LAIN-LAIN BERITA

BERITA TERBARU