KUCHING: Seorang pekebun kelapa sawit dijatuhkan hukuman denda RM10,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen hari ini, kerana memiliki 1.5 liter air ketum.
Tertuduh, 53, dari Serian itu, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Musli Abdul Hamid.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 30(2) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabit bersalah.
Dia memiliki bahan terlarang itu di sebuah rumah di Kampung Siniwan, Jalan Ensengei, Serian, sekitar 11.40 malam, 10 Jun lalu.
Menurut fakta kes, satu serbuan di sebuah rumah dilakukan oleh sepasukan polis kerana dipercayai terdapat aktiviti dadah dan seorang lelaki telah ditahan untuk pemeriksaan.
Semasa pemeriksaan, tertuduh menyerahkan satu botol air berisi cecair berwarna hijau yang disyaki air ketum yang disimpan di dalam peti ais rumah terbabit.
Hasil siasatan mendapati laporan kimia mengesahkan barang kes mengandungi Mitragynine iaitu bahan yang disenarai dalam Jadual Pertama dan Jadual Ketiga (Bahan Psikotropik) Akta Racun 1952.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Chuah Kai Sheng, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


