SELANGAU: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar memancing dua hari lalu ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terapung di Sungai Lemai, berhampiran Kuala Lemah Bukut, petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerusi satu kenyataan memaklumkan, mangsa dikenali sebagai Lembat Antas, 47, dari Rumah Juki, dilaporkan hilang sejak Isnin lalu.
Ujar kenyataan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kedua berjaya menemui mayat mangsa kira-kira satu kilometer dari lokasi perahu miliknya ditemui.
“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau yang diketuai PBK I Muhd Nur Faiz Abdullah menjalankan pencarian menggunakan teknik pencarian di permukaan air dengan bantuan sebuah perahu.
“Pencarian melibatkan radius tiga kilometer dari lokasi mangsa dipercayai memancing sebelum dia dilaporkan hilang,” jelas kenyataan.
Menurut kenyataan itu, operasi SAR hari kedua bermula seawal 8.15 pagi tadi, sebelum mayat mangsa berjaya ditemui pada 2.30 petang.
“Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada 3.35 petang,” jelasnya.
Terdahulu, mangsa dilaporkan keluar memancing di sungai berdekatan sekitar 9 pagi pada 2 Jun, namun tidak pulang ke rumah, menyebabkan ahli keluarga membuat laporan polis.
Operasi SAR melibatkan tujuh anggota bomba dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Pajero.



