SIBU: Seorang lelaki dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas di Sungai Batang Igan, selepas dipercayai terjun daripada Jambatan Igan di sini petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam satu kenyataannya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 5.15 petang.

Kemudian, jelasnya, seramai 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah diketuai PBK II Mohd Faizal Bujang beserta sebuah jentera FRT dan EMRS telah bergegas ke lokasi.
“Hasil dari maklumat dua orang saksi yang berada di rumah panjang Frederik Emperan Tekalong Batang Igan berdekatan Jambatan Igan dimana saksi pertama memaklumkan semasa duduk di tepi sungai beliau telah melihat seorang dipercayai lelaki berbaju warna merah dan seluar gelap telah terjun ke sungai dari Jambatan Igan.

“Manakala maklumat dari saksi kedua pula beliau melihat mangsa terkapai-kapai di dalam sungai dan hanyut ke hulu Sungai Igan,” jelasnya.
Beliau mengatakan pasukan bomba hanya menjumpai sebuah motosikal ditinggalkan di atas jambatan tersebut.

“Maklumat mangsa terjun jambatan belum dapat dikenalpasti dan pihak polis masih berusaha mengenalpasti mangsa terlibat,” katanya.
Sementara itu, dalam tindakan operasi mencari dan menyelamat (SAR), katanya, pihak bomba menjalankan operasi ‘Surface Searching’ sekitar tebingan Sungai Igan dalam jarak 300 meter ke ulu sungai.

Menurut beliau, hasil dari perbincangan dengan pihak polis operasi ditangguhkan pada jam 6.36 petang atas faktor cuaca, keselamatan anggota.



