KUCHING: Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun dua bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menyembunyikan migran yang diseludup masuk ke Sarawak dalam sebuah rumah inap di Bintulu, dua tahun lalu.
Achmad Muzammil, 40, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Zaleha Mohd Yusuf Pan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 26H Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, kerana menyembunyikan 20 orang migran yang diseludup masuk ke Malaysia melalui Bintulu.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah inap di Jalan Kidurong, Bintulu, sekitar jam 9.30 malam pada 17 Februari 2023.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, dan boleh juga dikenakan denda, atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, serbuan dilakukan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di rumah inap berkenaan yang dipercayai menjadi tempat penyimpanan migran.
Hasil pemeriksaan menemui 20 orang migran terdiri daripada 11 wanita dan 9 lelaki yang disembunyikan di lokasi tersebut. Achmad turut berada di lokasi dan ditahan semasa serbuan dilakukan.
Siasatan lanjut mendedahkan bahawa Achmad bertindak sebagai agen yang memudahkan kemasukan pendatang asing dari Indonesia ke Malaysia melalui Sarawak secara tidak sah.
Dia juga bertanggungjawab menguruskan tempat tinggal migran terbabit di rumah inap sebagai lokasi transit sementara sebelum mereka dihantar ke Kuala Lumpur.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kong Siew Chuo, manakala tertuduh diwakili oleh Peguam Fadzillah Osman.
Siasatan dijalankan oleh Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan, Mohamad Fuad Topek.

