ARTIKEL

HARGA TERKAWAL… Azwazizan ketika ditemui wartawan semalam. (GHAZALI BUJANG)

Lelaki Ini Enggan Naikkan Harga Ikan Walau Laut Mengganas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Fenomena ombak besar dan angin kencang yang melanda perairan Sarawak sejak Oktober lalu memaksa ramai nelayan mengambil keputusan untuk tidak turun ke laut demi keselamatan nyawa, sekali gus menjejaskan bekalan ikan di pasaran.

SEGAR… pelbagai jenis ikan masih dijual pada harga mampu milik. (GHAZALI BUJANG)

Tinjauan Suara Sarawak di Pasar Tani Demak hari ini mendapati meskipun berlaku penyusutan hasil tangkapan, masih terdapat pengusaha yang berpegang kepada prinsip untuk tidak menaikkan harga bagi memastikan pengguna tidak terbeban.

Bagi pemilik Kedai Ikan Syarikat Wariey, Aswazizan Saidan, 31, musim tengkujuh bukan sekadar memberi kesan kepada rantaian bekalan, malah melibatkan isu keselamatan dan kelangsungan hidup komuniti nelayan yang bergantung sepenuhnya kepada hasil laut.

“Biasanya daripada kira-kira 60 buah kapal nelayan, hanya sekitar 10 hingga 15 buah sahaja yang berani keluar ketika musim tengkujuh.

“Nelayan kecil sememangnya bimbang untuk mengambil risiko. Jika bot karam atau mengalami kerosakan di tengah laut, nyawa menjadi taruhan,” katanya ketika ditemui di premis perniagaannya di sini, semalam.

Menurut beliau, nelayan yang masih turun ke laut dalam keadaan cuaca tidak menentu ini kebanyakannya mengendalikan kapal besar yang mempunyai keupayaan tinggi, namun tetap berdepan risiko gelombang besar.

“Kapal kecil memang tidak berani keluar. Yang turun biasanya kapal besar dengan modal mencecah RM2 juta serta kapasiti sekitar 200 tan.

“Walaupun kapal besar lebih stabil, bahaya tetap wujud apabila laut bergelora,” jelasnya.

Beliau menambah bahawa keadaan cuaca buruk tersebut telah berlarutan sejak Oktober, selari dengan musim gelombang yang lazimnya bermula pada bulan berkenaan sehingga Januari setiap tahun.

“Biasanya apabila memasuki tahun baharu, keadaan akan reda sedikit ekoran peralihan monsun.

“Nelayan akan mula turun semula dan selalunya menjelang Februari keadaan laut kembali stabil,” katanya.

Walaupun bekalan ikan berkurangan, Aswazizan menegaskan pihaknya memilih untuk mengekalkan harga jualan sedia ada meskipun kos perolehan ikan kadangkala meningkat.

“Harga ikan di kedai kami tidak dinaikkan. Contohnya ikan tenggiri masih dijual pada RM28 sekilogram, iaitu harga yang sama sejak lima hingga lapan tahun lepas.

“Ikan yang berharga RM15 sekilogram juga kekal pada harga tersebut, sama ada pada musim gelombang atau sebaliknya,” katanya.

Tambah beliau, walaupun ada kalanya stok ikan dibeli pada harga lebih tinggi daripada peraih atau nelayan kecil, pihaknya tetap mengekalkan harga jualan demi menjaga kebajikan pelanggan.

“Ikan merah juga dijual pada RM28 sekilogram, iaitu harga lama. Walaupun harga kos meningkat, kami tetap menjualnya pada kadar sama.

“Ada pihak mendakwa harga mahal, namun hakikatnya harga ini tidak berubah hampir lapan hingga 10 tahun,” jelas beliau.

Beliau menyatakan bahawa sekiranya bekalan ikan melimpah, harga akan diturunkan mengikut keadaan pasaran, manakala ketika bekalan terhad, harga dikekalkan pada paras biasa tanpa sebarang kenaikan.

Dalam pada itu, beliau berharap keadaan laut kembali tenang bagi membolehkan nelayan menjalankan aktiviti tangkapan dengan lebih selamat.

“Nelayan mencari rezeki di laut dan kami pula bergantung kepada mereka.

“Harapan kami cuma satu — biarlah semua pihak dapat terus mencari rezeki tanpa mempertaruhkan nyawa, dan orang ramai pula masih mampu membeli ikan pada harga berpatutan,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU