KUCHING: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, memerintahkan seorang bekas pelajar Sekolah Hendry Gurney kembali ke sekolah berkenaan sehingga berusia 21 tahun selepas mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah hendak membakar rumah bapanya gara-gara meminta wang berjumlah RM100.
Majistret Mason Jaro Lenya Barayan memerintahkan demikian terhadap pesalah muda berusia 20 tahun itu sebaik sahaja pendengaran laporan sosial oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini.
Mengikut kertas pertuduhan, dia sengaja menggeluarkan kata-kata ugutan jenayah melalui panggilan telefon terhadap bapanya berusia 54 tahun dengan menyatakan membakar rumah mereka di Jalan Lapangan Terbang, sekitar jam 9 pagi, Isnin lalu (7 Ogos).
Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian, pengadu menerima panggilan daripada anak lelakinya (tertuduh) meminta wang RM100 dan sekiranya tidak memberikan wang yang berkenaan dia hendak membakar rumah.
Pengadu kemudian bergegas pulang ke rumah melihat minyak petrol telah disiramkan di ruang tamu dipercayai dilakukan oleh tertuduh.
Bimbang akan keselamatan keluarga, pengadu tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh pada hari yang sama.
Hasil siasatan mendapati tertuduh telah mendatangkan trauma dan ketakutan kepada pengadu dengan menakutkan secara jenayah hendak membakar rumah pengadu.
Difahamkan, tertuduh meminta wang berkenaan untuk membeli dadah secara dalam talian.
Selain itu, terdahulu pada tahun 2017 dia pernah dimasukkan ke sekolah berkenaan atas kesalahan terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.