KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhkan hukuman penjara 11 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara lelakinya pada Mei tahun lalu.
Tertuduh berusia berusia 40 tahun itu mengaku bersalah sebelum perbicaraan bermula hari ini di hadapan Hakim Iris Awen Jon.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKKSTKK) 2017 dan dibacakan bersama Seksyen 14 akta yang sama, kerana melakukan serangan seksual fizikal dengan menyentuh kemaluan seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun.
Manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (b) AKKSTKK 2017 yang dibacakan bersama Seksyen 14 akta yang sama, atas kesalahan serangan seksual fizikal dengan memasukkan kemaluannya ke dalam mulut mangsa yang sama.
Dia melakukan kedua-dua kesalahan itu di ruang tamu dan bilik tidur sebuah rumah di Jalan Sejijak di sini, antara jam 4.00 dini hari hingga 6.30 pagi pada 2 Mei 2023.
Iris Awen menjatuhkan hukuman penjara lima tahun enam bulan dan dua sebatan bagi pertuduhan pertama.
Manakala bagi pertuduhan kedua, dia dijatuhkan hukuman penjara lima tahun enam bulan dan tiga sebatan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalankan hukuman penjara secara berturutan.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, sekitar jam 9.00 pagi, mangsa menceritakan kepada ibunya tentang perbuatan terkutuk bapa saudaranya.
Tertuduh, yang datang dari Sibu, menumpang di rumah keluarga mangsa di Kuching.
Pada malam kejadian, ibu bapa mangsa telah tidur manakala mangsa masih bermain permainan di dalam gajet.
Setelah mendengar cerita anaknya, ibu mangsa terus membawa mangsa ke hospital untuk rawatan, dan laporan polis dibuat.
Hasil siasatan mendapati tertuduh telah melakukan serangan seksual fizikal terhadap mangsa, dan hasil pemeriksaan kesihatan mendapati kesan luka pada kemaluan mangsa.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ruvinasini Pandian, manakala tertuduh diwakili seorang peguam.

