ARTIKEL

lastik: Tertuduh dibawa keluar dari bilik Mahkamah Majistret 1 oleh anggota polis.

Lelaki Lastik Cermin Bilik Rumah Jiran Didenda RM1,800

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhkan hukuman denda RM1,800 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini, kerana melastik cermin bilik rumah jirannya hingga menyebabkan kerugian RM320.

Tertuduh berusia 35 tahun mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, kerana melakukan khianat merosakkan harta benda dengan memecahkan cermin bilik mangsa wanita berusia 56 tahun.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dia melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Matang Baru, sekitar 9.41 pagi, 8 Mei lepas.

Mahkamah memerintahkan tertuduh membayar ganti rugi RM320 kepada pengadu mengikut Seksyen 426 Kanun Tatacara Jenayah.

Menurut fakta kes, pada hari kejadian, pengadu merupakan jiran tertuduh melihat perbuatan tertuduh melastik batu ke arah cermin bilik pengadu.

Pengadu yang takut dengan tindakan tertuduh bertindak membuat laporan polis seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh pada 18 Mei lepas.

Difahamkan tertuduh bertindak demikian kerana marah dengan arah kamera litar tertutup (CCTV) rumah pengadu yang dikatakan menuju ke rumah tertuduh.

Pendakwaan kes dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aidil Akmal Sharidan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU