KUCHING: Seorang lelaki dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini kerana merokok di kedai makan pada Jun lalu.
Menurut kenyataan media Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), di hadapan Majistret Ling Hui Chuan, dia mengaku salah atas pertuduhan di bawah Seksyen 16(2), Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, dibaca bersama Seksyen 16(3) Akta yang sama.
Tertuduh telah diberi notis kesalahan di bawah Seksyen 47, Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, dan diberi peluang selama dua bulan untuk ditawarkan kompaun di mana-mana Pejabat Kesihatan.
Namun demikian, tertuduh gagal hadir sehingga tamat tempoh tersebut menyebabkan kes telah difailkan di Mahkamah untuk tindakan lanjut.
Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku ketika Ops Rokok dijalankan oleh Pasukan Penguatkuasaan Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching di sekitar pasar bandar berkenaan.
Semasa prosiding kes, Pegawai Pendakwa Mohd Fairos Ibrahim memberitahu Mahkamah, kedai makan telah diwartakan sebagai kawasan larangan merokok sejak 2019 di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, dan diteruskan dalam Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang telah dikuatkuasakan pada Oktober 2024.
Mohd Fairos memohon agar hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh sebagai pengajaran kepadanya dan juga orang awam agar lebih mengambil perhatian terhadap kawasan larangan merokok yang telah diwartakan.
Selain itu, ia sebagai pengajaran kepada masyarakat agar mematuhi undang-undang yang ditetapkan demi kesihatan orang awam.



