KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki maut, manakala rakannya cedera parah selepas kenderaan yang mereka naiki hilang kawalan dan memasuki parit di Batu 8, Jalan Kuching/Serian awal pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Deputi Superintendan Barry William berkata, kemalangan berlaku sekitar 4.30 pagi apabila sebuah Perodua Bezza yang dipandu lelaki berusia 27 tahun terbabas berhampiran kem tentera.
“Penumpang kenderaan berusia 36 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan Hospital Umum Sarawak (HUS), manakala pemandu kenderaan mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Unit Kecemasan HUS untuk rawatan lanjut.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HUS untuk tujuan bedah siasat,” katanya.
Barry menambah, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku di jalan lurus dua lorong dengan permukaan jalan kering.
Katanya, tiada faktor cuaca atau kerosakan jalan yang dilaporkan menjadikan kecuaian pemandu sebagai punca utama insiden ini.
“Kenderaan terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Samarahan untuk pemeriksaan PUSPAKOM. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


