KUCHING: Seorang lelaki dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, kerana mengugut hendak mencederakan adik lelakinya menggunakan sebilah pisau dalam satu pertengkaran di rumah mereka di Petra Jaya, Jumaat lalu (19 Disember).
Punca kejadian, kerana tertuduh memakan ayam yang dibekalkan adiknya untuk turun bekerja.
Mohamad Dean, 45, mempunyai rekod lampau melibatkan penyalahgunaan dadah itu mengaku bersalah atas satu pertuduh yang dibacakan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Nuraini Ahmad.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang membawa kepada hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dia melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Petra Jaya, sekitar jam 5.00 petang, 19 Disember lalu.
Menurut fakta kes, pada hari kejadian, satu pertengkaran berlaku antara adik-beradik kerana tertuduh yang sakit hati dimarahi adiknya makan makanan yang hendak dibawa turun bekerja.
Tertuduh yang berang dimarahi adiknya lalu bertindak mengambil sebilah pisau dan mengacukan kepada mangsa sambil mengeluarkan kata-kata ugutan jenayah.
Bimbang akan keselamatan diri, mangsa tampil membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh pada hari yang sama.
Hasil siasatan mendedahkan tertuduh sengaja mengeluarkan kata-kata ugutan jenayah sambil mengacukan sebilah pisau ke arah pengadu.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Ilin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

