KOTA SAMARAHAN: Seorang pejalan kaki ditemukan meninggal dunia dipercayai dilanggar lari ketika melintas jalan di Kilometer 20, Jalan Datuk Mohd Musa di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Brodie Brangka berkata dalam kejadian yang dilaporkan kira-kira jam 6.30 pagi itu, lelaki berusia 57 tahun berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa sedang melintas jalan.
“Semasa berada di tengah jalan, mangsa dipercayai dilanggar sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti nombor pendaftarannya, yang telah melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, katanya orang ramai atau saksi yang menyaksikan kejadian diminta tampil memberi maklumat ke Balai Trafik IPD Kota Samarahan atau hubungi 082-662101.
Brodie berkata kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

