KABONG: Seorang lelaki yang mempunyai lima rekod jenayah lampau diberkas selepas dipercayai memiliki 2.7 gram dadah jenis syabu dalam Op Tapis Khas di sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintendan Mathew Manggie berkata pemeriksaan terhadap suspek menemukan sebuah dompet mengandungi lesen memandu dan wang tunai RM200, selain satu plastik berwarna hitam di dalam poket hadapan seluarnya.
“Di dalam plastik hitam tersebut terdapat dua paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal yang disyaki dadah jenis syabu seberat 2.70 gram,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut beliau, polis turut merampas sebuah penimbang digital berwarna perak yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkaitan dadah.
“Kesemua barangan tersebut dirampas untuk dijadikan barang kes dan suspek ditahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” ujarnya.
Tambahnya, suspek berusia 57 tahun itu mempunyai lima rekod jenayah lampau, kebanyakannya berkaitan kesalahan dadah selain kes curi.
Dalam operasi yang sama, jelasnya, suspek cuba melarikan diri ke bahagian belakang rumah ketika serbuan dilakukan, namun berjaya dikejar dan ditahan oleh pihak polis.




