KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara 30 bulan dan tiga sebatan oleh Mahkamah Majistret hari ini kerana memiliki dadah jenis syabu dan ganja di sebuah kampung di Puncak Borneo, Januari lalu.
Hafie, 29, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, dia didakwa di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(1) akta yang sama kerana memiliki 8.49 gram Methamphetamine.
Manakala bagi pertuduhan pindaan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki 0.31 gram ganja.
Dia memiliki bahan terlarang itu dalam sebuah bilik di sebuah rumah di Kampung Sri Arjuna, Jalan Puncak Borneo sekitar jam 11.20 pagi, 23 Januari lepas.
Hui Chuan menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan dan tiga sebatan bagi pertuduhan pindaan pertama, manakala bagi pertuduhan pindaan kedua, dia dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara serentak bagi kedua-dua pertuduhan.
Menurut fakta kes, pada hari kejadian, sepasukan polis melakukan serbuan di sebuah rumah kerana disyaki terdapat kegiatan dadah.
Semasa serbuan, seorang lelaki ditahan dan hasil pemeriksaan menjumpai satu paket plastik lutsinar berisi ketul-ketulan kristal dalam beg kecil yang diserahkan sendiri oleh tertuduh.
Selain itu, pihak polis juga menjumpai ceraian dedaun kering dalam balutan kertas yang disyaki dadah jenis ganja.
Barang kes dibawa ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis dan laporan mengesahkan ia adalah dadah jenis Amphetamine seberat 8.49 gram dan kanabis seberat 0.31 gram.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Ilin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



