KUCHING: Seorang lelaki tempatan dicekup polis kerana disyaki terbabit dalam kes pecah masuk kedai dan mencuri di kawasan Tabuan Jaya di sini, sehingga mengakibatkan kerugian sebanyak RM14,000, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa, memberitahu, selepas bertindak atas maklumat risikan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching berjaya menahan suspek, 46 tahun, di Taman BDC, Jalan Stampin.

“Turut dirampas seunit beg silang, seunit pemutar skru, seunit telefon bimbit model Huawei warna hitam, seunit ‘allen key’, seunit playar, seunit besi bentuk T yang diubah suai, seunit anak kunci berserta ‘remote’, seluar pendek jenama Coneli warna hitam, sebatang anak kunci kereta Perodua berserta alat kawalan jauh, dua unit komputer riba jenama Asus berwarna hitam berserta ‘adapter’ pengecas.
“Selain itu, tiga unit CCTV jenama Tapo Crystal Clear 2K QHD, seunit ‘graphics card’ jenama Gigabyte, satu set ‘toolbox level green light laser’, seunit tangga lipat, seunit beg galas jenama Huawei berwarna kelabu, satu set ‘toolbox’ mengandungi pelbagai alat, dua unit anak kunci ‘roller shutter’ dan sebuah motokar jenis Perodua Myvi yang digunakan sewaktu melakukan jenayah pecah kedai tersebut,” menurutnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Merbin berkata, semakan KOMPOL mendapati kenderaan tersebut adalah kenderaan yang dilaporkan hilang dicuri di kawasan Taman Satria pada 9 November lalu.
Katanya, hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amp/meth, dan memiliki enam rekod lampau melibatkan jenayah dadah dan harta benda.
“Hasil soal siasat awal, didapati suspek terlibat tiga kes pecah kedai.
“Kini suspek ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut lain-lain kes pecah kedai di kawasan Kuching di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai 14 tahun dan denda atau sebat,” ujarnya.
Merbin turut menyeru orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-244444 atau menyalurkan maklumat di balai polis yang berhampiran.


