KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda RM900 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana melakukan khianat memecahkan sisi cermin kereta milik mangsa lelaki menggunakan sebatang besi.
Don Hiroshee Philip, 29, mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah rumah di Kampung Stutong, kira-kira jam 3.40 petang, 1 Oktober lalu.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Menurut fakta kes, semasa kejadian, semasa pengadu sedang duduk di luar rumah menegur seorang lelaki yang dikenali dengan nama ‘debu’ kerana memandu secara laju di kawasan perumahan tersebut.
Setelah ditegur, tertuduh membuka tingkap kereta lalu menjeling ke arah pengadu seakan-akan tidak berpuas hati dengan teguran pengadu.
Sekitar jam 4.10 petang hari yang sama, tertuduh datang semula menggunakan sebuah kereta dan sebuah lagi dipandu oleh lelaki lain.
Tertuduh bersama rakannya keluar dari kereta dan salah seorang daripada mereka membawa sebatang besi terus membaling ke arah rumah pengadu.
Selain itu, tertuduh yang juga membawa sebatang besi lalu memecahkan cermin sisi hadapan kereta milik abang pengadu hingga menyebabkan kerugian RM300.
Pengadu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Hasil siasatan mendapati tertuduh telah membaling besi dan memecahkan cermin sisi kereta abang pengadu.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


