KUCHING: Seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun kerugian RM268,840 selepas ditipu dalam projek pembekalan dan pemasangan sistem solar yang didakwa melibatkan Jabatan Pertanian Negeri Sarawak.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, mangsa menerima panggilan sekitar 7 malam di rumahnya pada awal Januari lalu daripada individu yang menawarkan projek tersebut.
“Mangsa kemudiannya menerima dokumen melalui aplikasi WhatsApp yang didakwa sebagai Pesanan Kerajaan (Bekalan Perkhidmatan).
“Tanpa syak, mangsa membuat pemindahan wang sebanyak enam kali ke empat akaun bank berbeza berjumlah RM268,840,” katanya dalam kenyataan.
Alexson menambah, namun selepas beberapa hari, mangsa tidak menerima sebarang panel solar seperti dijanjikan dan menyedari dirinya ditipu.
Kes disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, IPD Kuching di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan melakukan perbuatan tidak jujur untuk mendapatkan harta.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda.
“PDRM menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan tawaran pelaburan atau projek yang disebarkan di media sosial,” katanya.


