ARTIKEL

Lelaki rugi RM363,887 ditipu beli lima rumah lelong

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Hasrat membeli lima rumah lelong pada harga di bawah pasaran membawa kerugian RM363,887.49 kepada seorang lelaki berusia 56 tahun yang dipercayai menjadi mangsa penipuan kenalannya.

Lebih mengecewakan, mangsa masih belum menerima dokumen lengkap bagi mengesahkan pemilikan hartanah berkenaan meskipun telah membuat beberapa pembayaran sejak November tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, mangsa mengenali suspek melalui urusan kerja dan persahabatan sejak kira-kira dua tahun lalu.

Kejadian bermula pada November 2025 apabila mangsa berhasrat membeli rumah untuk kegunaan keluarga di Kuching, sebelum suspek menawarkan lima rumah di Taman Abadi yang didakwa sebagai hartanah lelong bank.

“Suspek turut menawarkan untuk menguruskan proses pembelian, termasuk penyediaan perjanjian jual beli (SPA) dan pemindahan hak milik,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mangsa membuat beberapa pembayaran secara berperingkat dari November 2025 hingga Januari 2026 bagi tujuan pembelian rumah, deposit, ukur tanah serta bayaran berkaitan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Bagaimanapun, urusan pembelian itu didakwa tidak diselesaikan seperti yang dijanjikan, manakala mangsa masih belum menerima dokumen lengkap bagi mengesahkan pemilikan lima rumah berkenaan.

Menurutnya, mangsa yang berulang kali menghubungi suspek untuk mendapatkan penjelasan akhirnya membuat laporan di Balai Polis Pusat Miri pada 15 Oktober lalu.

“Polis kini menyiasat status sebenar hartanah yang ditawarkan, aliran wang pembayaran serta kemungkinan penglibatan pihak lain dalam urusan berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran rumah lelong pada harga yang tidak munasabah, sebaliknya mengesahkan status hartanah melalui saluran rasmi sebelum meneruskan pembelian.

Beliau turut menyarankan bakal pembeli menyemak kesahihan dokumen, mendapatkan khidmat peguam bertauliah dan mengelakkan pembayaran ke akaun pihak ketiga tanpa pengesahan sewajarnya.

BERITA LAIN

Legenda tempatan mampu tarik pelancong ke Sarawak

KUCHING: Kisah legenda di sebalik nama tempat, sungai dan bangunan bersejarah di Sarawak berpotensi menjadi tarikan pelancongan, sekali gus memperkenalkan warisan negeri ini kepada khalayak

BERITA TERBARU

Legenda tempatan mampu tarik pelancong ke Sarawak

KUCHING: Kisah legenda di sebalik nama tempat, sungai dan bangunan bersejarah di Sarawak berpotensi menjadi tarikan pelancongan, sekali gus memperkenalkan warisan negeri ini kepada khalayak