KUCHING: Pengguna Jalan Tan Sri Abang Ikhwan Zaini kini menikmati laluan yang lebih selamat dan selesa susulan penyiapan projek menaik taraf jalan berkenaan, termasuk pembinaan jalan berkembar dan sistem perparitan baharu.
Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dalam kenyataan memaklumkan projek itu bertujuan meningkatkan kapasiti jalan, melancarkan aliran trafik serta menambah baik pengurusan air hujan di kawasan berkenaan.
Majlis perasmian projek itu disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Hajah Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, bersama Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Haji Hilmy Haji Othman.


Skop projek merangkumi pelebaran jalan sedia ada kepada jalan berkembar yang menyediakan laluan berasingan bagi setiap arah, selain pembinaan sistem perparitan.
Kerja lain termasuk pembersihan tapak, kerja tanah, penggantian struktur jalan dan perparitan, kerja cerucuk, pembinaan serta penurapan semula jalan dan pemasangan garisan serta kelengkapan jalan raya.
Projek itu turut melibatkan penyiapan persimpangan lampu isyarat di Jalan Cenderawasih bagi menyokong kelancaran dan keselamatan pergerakan trafik.

Menurut DBKU, penyediaan infrastruktur selamat, selesa dan teratur merupakan keutamaan pihak mereka dalam meningkatkan kualiti hidup penduduk.
Projek berkenaan siap sepenuhnya pada 31 Julai 2026 dan dijangka memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk setempat serta pengguna jalan raya di Kuching Utara.



