KUCHING: Pembayar cukai yang mempunyai dokumen belum disetem berpeluang menyelesaikan kewajipan itu tanpa penalti menerusi program pengakuan sukarela yang dilaksanakan sempena Bulan HASiL sepanjang Oktober ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, inisiatif itu memberi ruang kepada pembayar cukai tampil secara sukarela untuk menyetem dokumen yang sebelum ini belum memenuhi keperluan berkenaan.
“Kerajaan mengumumkan program ini bagi menggalakkan pematuhan cukai, sekali gus membantu pembayar cukai menyelesaikan urusan berkaitan duti setem.
“HASiL turut memberi tumpuan kepada Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) bagi e-Invois, khususnya kepada pihak yang ingin membetulkan kesilapan selepas menyertai sistem berkenaan.
“Oleh itu, kalau ada dokumen-dokumen yang belum disetemkan, kerajaan mengumumkan satu lagi program sukarela untuk mereka tampil ke depan menyetem dokumen tersebut tanpa penalti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi HASiL Bersama Media Sarawak di sebuah hotel di sini malam tadi.
Dalam pada itu, Abu Tariq menjelaskan bahawa, selain duti setem dan e-Invois, HASiL turut menggalakkan pembayar cukai yang mempunyai isu berkaitan cukai pendapatan membuat pengakuan sebelum dikenakan audit atau siasatan.
Katanya, langkah itu membolehkan pembayar cukai mengambil tindakan awal dengan kadar penalti lebih rendah, tertakluk kepada syarat dan ketetapan program berkenaan.
Tambahnya, Bulan HASiL yang berlangsung dari 1 hingga 31 Oktober turut dimanfaatkan untuk mendekati masyarakat menerusi program penerangan di lokasi awam, institusi pendidikan dan komuniti.
Selain itu, tegasnya, orang ramai yang mengetahui kemungkinan berlaku ketidakpatuhan cukai oleh individu atau syarikat boleh menyalurkan maklumat kepada HASiL melalui saluran pelaporan yang disediakan untuk tindakan semakan lanjut.
Kata Abu Tariq, pendekatan berkenaan bertujuan meningkatkan pematuhan secara sukarela dan memastikan setiap pembayar cukai melaksanakan tanggungjawab masing-masing.



