ARTIKEL

Mohd Johari menerangkan sesuatu kepada rakannya ketika membuat persiapan untuk Program Hari Sukan Negara di Sarikei.

Kehilangan kaki tidak patahkan semangat Johari, pegawai belia Sarikei

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SARIKEI: Kehilangan kaki kiri selepas mengalami komplikasi kecederaan tidak mematahkan semangat Mohd Johari Abdullah, 52, untuk meneruskan kehidupan.

Sebaliknya, pengalaman itu mendorongnya berkongsi kisah perjuangan bagi menyuntik semangat kepada individu lain yang berdepan nasib serupa.

Berasal dari Tebedu, Serian, Johari kini berkhidmat sebagai Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sarikei selepas memulakan kerjaya sebagai Pembantu Belia dan Sukan di Miri pada 1995.

Bagaimanapun, kehidupannya berubah pada 2019 apabila beliau terbabit dalam kemalangan di pejabat sehingga menyebabkan tulang kaki kirinya patah.

Keadaan bertambah serius apabila kecederaan itu disusuli jangkitan kuman pada tulang yang turut menjejaskan pergerakannya sehingga doktor mengesyorkan kaki kirinya dipotong bagi menangani komplikasi tersebut.

“Pada awalnya, sebagai insan biasa, sudah tentu saya terkejut apabila diberitahu kaki perlu dipotong. Namun, saya cuba menguatkan semangat kerana sedar kehidupan perlu diteruskan dan saya perlu belajar menyesuaikan diri sebagai orang kurang upaya (OKU),” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Menurutnya, proses menyesuaikan diri dengan keadaan fizikal baharu bukan mudah, terutama dari segi emosi dan keyakinan diri.

Bagaimanapun, sokongan keluarga, pegawai fisioterapi Hospital Sarikei dan rakan sekerja membantunya menjalani proses pemulihan serta kembali menyesuaikan diri dengan rutin harian.

Johari kemudian memilih untuk kembali aktif dalam sukan dan kegiatan kemasyarakatan, selain berkongsi pengalaman hidup menerusi Facebook bagi memberi dorongan kepada individu yang mengalami kehilangan anggota badan.

Usahanya itu memberi kesan kepada orang lain, malah beliau pernah menerima panggilan daripada seorang individu yang memaklumkan ibunya yang turut kehilangan kaki kembali mendapat semangat selepas membaca kisah Johari.

“Pengalaman ini menguatkan keyakinan saya bahawa perkongsian ikhlas mampu menjadi sumber kekuatan kepada mereka yang sedang berjuang menerima kenyataan hidup,” katanya.

Bagi Johari, pengalaman yang dilaluinya bukan sahaja mengubah kehidupannya, malah menjadikannya lebih memahami cabaran yang dihadapi orang lain, sekali gus mengukuhkan tekad untuk terus berkhidmat kepada masyarakat, khususnya golongan belia.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU