ARTIKEL

Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin ketika berucap pada majlis itu. | Foto: Levrone Aigle

Kutipan cukai negara lepasi RM200 bilion buat kali pertama

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kutipan cukai negara melepasi RM200 bilion buat kali pertama pada 2025, hasil usaha Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) dalam meningkatkan pematuhan cukai dalam kalangan pembayar cukai.

Ketua Pegawai Eksekutif HASiL Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, pencapaian itu turut disokong oleh peranan media dalam menyampaikan maklumat percukaian serta menjelaskan inisiatif kerajaan kepada masyarakat.

Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin (tengah) menyampaikan cenderahati kepada wakil Suara Sarawak, Rusnan Mustafa. | Foto: Levrone Aigle

Menurutnya, kerjasama media penting bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai tanggungjawab percukaian dan menggalakkan pematuhan cukai secara sukarela.

“HASiL akan meneruskan usaha memperluas penyampaian maklumat percukaian, termasuk melalui seminar terbuka dan program turun padang bagi membantu pembayar cukai memahami keperluan serta tanggungjawab mereka.

“Antara fokus HASiL pada 2026 ialah pelaksanaan sistem taksir sendiri bagi duti setem dan cukai keuntungan harta tanah, selain pelaksanaan e-Invois yang bermula pada 2024.

“Pematuhan cukai secara sukarela tentunya menjadi matlamat utama kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi HASiL Bersama Media Sarawak di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Pada masa sama, Abu Tariq memberitahu bahawa HASiL turut menganjurkan Bulan HASiL sepanjang Oktober dengan pelbagai program di pusat beli-belah, komuniti, universiti dan sekolah bagi mendekati pembayar cukai.

Dalam tempoh itu, beliau menegaskan bahawa HASiL turut memberi tumpuan kepada Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) bagi e-Invois dan duti setem, termasuk peluang membetulkan kesilapan serta menyetem dokumen yang belum disetemkan mengikut syarat program berkenaan.

Jelasnya, pembayar cukai juga digalakkan membuat pengakuan sebelum dikenakan audit atau siasatan, dengan kadar penalti lebih rendah tertakluk kepada ketetapan yang berkuat kuasa.

“Usaha berterusan ini penting bagi memastikan kutipan cukai negara kekal mampan untuk membiayai pembangunan dan kepentingan rakyat,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU