BAU: Hasrat seorang lelaki untuk memiliki Toyota Hilux berharga RM18,250 bertukar menjadi mimpi buruk selepas dia kerugian RM9,800 akibat diperdaya dalam urusan pembelian kenderaan secara dalam talian.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata, mangsa berusia 55 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori itu dipercayai tertarik dengan iklan jualan Toyota Hilux 2.4G berwarna perak menerusi Facebook pada 15 September lalu.
Menurutnya, mangsa kemudian menghubungi seorang lelaki menerusi WhatsApp bagi menyatakan minat membeli kenderaan berkenaan sebelum diminta membuat bayaran secara berperingkat.
“Pada hari sama, mangsa membuat bayaran pertama sebanyak RM3,000 menerusi mesin ATM Maybank di Bau ke akaun bank yang diberikan, kononnya sebagai bayaran tempahan kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Haide berkata, pada 17 September, mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘Kayla’ dan diminta membayar RM5,000 kononnya bagi urusan mengeluarkan kenderaan berkenaan dari stor bank.
Katanya, mangsa kemudian membuat dua transaksi berjumlah RM5,000 menerusi mesin ATM Maybank di Emart Moyan Baru, Kuching, ke akaun bank yang diberikan.
“Pada 18 September pula, mangsa membuat satu lagi transaksi sebanyak RM1,800 ke akaun bank lain selepas diminta membuat bayaran bagi tujuan sama.
“Jumlah keseluruhan wang yang telah dibayar mangsa ialah RM9,800,” katanya.
Mohd Haide berkata, pada hari sama mangsa sekali lagi diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM6,800 atas alasan berlaku kesilapan dalam transaksi sebelum ini, namun mangsa tidak meneruskan pembayaran tersebut.
Menurutnya, mangsa mula menyedari dirinya berkemungkinan ditipu selepas kedua-dua individu yang berurusan dengannya enggan berjumpa secara bersemuka.
“Semakan rekod CCIS mendapati salah satu akaun bank terbabit mempunyai satu rekod, manakala satu lagi mempunyai tiga rekod.
“Bagaimanapun, kedua-dua nombor telefon yang digunakan dalam urusan berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod dalam semakan sama.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Mohd Haide menambah, mangsa turut dinasihatkan supaya menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 selepas memaklumkan kepada polis bahawa dia tidak mengetahui mengenai saluran berkenaan.



