KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda RM1,000 atau penjara tiga minggu oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana terlibat dalam pembelian loteri awam tanpa lesen dalam sebuah premis kedai, November lalu.
Frederick John Kenedy, 29, dari Kampung Tabuan Dayak mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.
Mengikut pertuduhan, dia melakukan kesalahan itu di sebuah kedai runcit di Batu 7, Jalan Penrissen, sekitar jam 4.45 petang, 4 November lalu.
Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Menurut fakta kes, sepasukan polis dari i Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan telah melakukan serbuan di sebuah kedai runcit yang dipercayai terlibat dalam penjualan tiket loteri awam tanpa lesen.
Hasil serbuan berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang sedang melakukan kegiatan membeli loteri dalam premis terbabit.
Barang-barang kes turut dirampas termasuk seunit telefon pintar, sebatang pen hitam, sekeping kertas bertulis angka loteri dan wang tunai berjumlah RM100.
Hasil siasatan mendapati tertuduh memiliki tiket nombor loteri awam tanpa lesen.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


