KUCHING: Seorang lelaki dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau penjara selama satu bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini kerana merokok di sebuah kedai makan pada Ogos tahun lalu.
Menurut kenyataan media Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), tertuduh berusia 43 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 16(2) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, dibaca bersama Seksyen 16(3) akta yang sama.
Sebelum ini, tertuduh telah diberikan notis kesalahan di bawah Seksyen 47 Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dan diberi tempoh selama dua bulan untuk menerima tawaran kompaun di mana-mana Pejabat Kesihatan.
Namun, tertuduh gagal hadir sehingga tamat tempoh yang ditetapkan, menyebabkan kes itu difailkan di mahkamah untuk tindakan lanjut.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.
Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku ketika Ops Rokok dijalankan oleh Pasukan Penguat Kuasa Pejabat Kesihatan Daerah Lundu di sekitar Kuching.
Tertuduh ditahan ketika sedang merokok di sebuah kedai makan.
Pegawai Pendakwa Unit Inspektorat dan Perundangan, Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching, Mohd Fairos Ibrahim memohon agar hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran.
Selain itu, hukuman tersebut juga bertujuan memberi pengajaran kepada masyarakat agar mematuhi undang-undang yang ditetapkan demi kesihatan awam.




