ARTIKEL

Lelaki tular pukul ibu sendiri ditahan 

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MUKAH: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki memukul ibunya sendiri di sebuah rumah panjang di kawasan Selangau.

Ketua Polis Daerah Mukah,  Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, penahanan itu dibuat selepas satu video berdurasi 26 saat yang ada kaitan dengan kejadian berkenaan tular di laman sosial Facebook.

Video itu katanya, memaparkan seorang lelaki sedang memukul seorang wanita tua dengan menggunakan tangan. 

“Setelah semakan, Polis  mendapati kes itu merupakan kejadian yang berlaku pada 14 julai 2023 di sebuah rumah panjang di kawasan Selangau.  Laporan polis berkaitan kes itu telah pun di buat di Balai Polis Selangau pada  jan 11 malam, 14 Julai lalu.

“Ekoran laporan polis tersebut,  Ibu Pejabat Polis Daerah Mukah telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kejadian mengakibatkan mangsa berusia 91 tahun cedera di bahagian muka telah diberi rawatan di Klinik Kesihatan Selangau sebelum dirujuk ke Hospital Sibu untuk menerima rawatan susulan. 

Menurutnya, tangkapan telah pun dilaksanakan terhadap suspek berusia 60 tahun itu dan kes masih dalam siasatan.

“Saya ingin mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan video berkaitan kes ini kerana boleh mengganggu siasatan. 

“Orang ramai juga jangan membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran dan menggugat ketenteraman awam,” tegasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU