LAWAS: Seorang lelaki berusia 22 tahun ditahan polis selepas bertindak mengugut ahli keluarganya dengan sebilah parang dalam kejadian di Jalan Kuala Lawas, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Lawas, Liong Tindan, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 pagi apabila suspek dilaporkan hilang kawalan dan menimbulkan suasana tegang di kediamannya.
“Polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 10.18 pagi dan segera menggerakkan pasukan ke lokasi.
“Suspek berjaya ditahan, manakala sebilah parang yang digunakan turut dirampas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, tindakan suspek dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan isu kewangan dalam keluarga.
Beliau menambah, hasil ujian saringan air kencing awal mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis amphetamine, namun semakan rekod mendapati suspek tidak mempunyai sebarang kes jenayah lampau.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.



