ARTIKEL

Suspek kini ditahan polis kerana disyaki mencabul dua beradik perempuan dalam kejadian di Jalan Sultan Tengah, di sini.

Lelaki warga emas 70 tahun dicekup cabul dua beradik perempuan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Penduduk Kampung Sungai Batu dikejutkan dengan penahanan seorang lelaki warga emas yang disyaki mencabul dua beradik perempuan dalam insiden yang berlaku di Jalan Sultan Tengah, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu, berkata suspek berusia 70 tahun itu ditahan kira-kira 11.25 malam pada 2 Mac lalu selepas laporan diterima mengenai kejadian tersebut.

“Penahanan itu dibuat bagi membantu siasatan dan mengumpul bukti berkaitan kes berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Alexson berkata, suspek kini berada dalam tahanan polis dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, selain boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Beliau menegaskan polis mengambil serius kesalahan terhadap kanak-kanak dan tidak akan berkompromi dengan pelaku jenayah sedemikian.

“Orang ramai, khususnya ibu bapa dan penjaga, dinasihatkan supaya sentiasa memantau keselamatan anak-anak bagi mengelakkan kejadian serupa daripada berlaku.

“Keselamatan dan perlindungan anak-anak harus menjadi keutamaan setiap keluarga.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching di talian 082-244444 bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut akan diteruskan dan sebarang perkembangan baharu akan dimaklumkan kepada umum.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU