KUCHING: Seorang lelaki berusia 61 tahun maut selepas kereta Perodua Viva yang dipandunya bertembung dengan sebuah Perodua Myvi yang dipercayai memasuki laluan bertentangan di Jalan FAC, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal mendapati Perodua Myvi yang dipandu pemuda berusia 20 tahun itu dipercayai hilang kawalan ketika dalam perjalanan dari Taman Malihah menuju ke Bandar Baru Semariang, kira-kira jam 6 pagi.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, Perodua Myvi dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Perodua Viva yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Akibat pertembungan itu kata Alexson, pemandu Perodua Viva disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Umum Sarawak kira-kira jam 6.47 pagi.
Pemandu Perodua Myvi pula katanya mengalami kecederaan parah pada lutut kanan.
Alexson berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menerima maklumat mengenai kemalangan itu daripada Pusat Kawalan IPD Kuching kira-kira jam 6.57 pagi.
“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu, memastikan kenderaan berada dalam kawalan serta mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kemalangan.


