ARTIKEL

Jack ketika menyampaikan ucapan aluan pada Persidangan Pendidikan Alam Sekitar (EEC) 2026 di sini, hari ini yang dirasmikan oleh Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mewakili Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg | Foto: Ghazali Bujang

Sarawak sasar bangunkan modul pendidikan alam sekitar untuk sekolah dan komuniti

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak menyasarkan untuk membangunkan modul pendidikan alam sekitar sekolah dan komuniti bagi memperkukuh kesedaran kelestarian serta memastikan pendidikan alam sekitar lebih tersusun dan berkesan.

Controller Kualiti Alam Sekitar Sarawak, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Datuk Jack Liam berkata, pembangunan modul itu antara objektif utama Persidangan Pendidikan Alam Sekitar (EEC) 2026 yang menghimpunkan pendidik, agensi kerajaan, industri dan rakan kerjasama dari dalam serta luar negara.

“Antara objektif utama kami ialah menghasilkan modul pendidikan alam sekitar untuk sekolah dan komuniti.

“Modul berkenaan akan menyatukan usaha sedia ada, menyediakan bahan pembelajaran yang mudah diakses dan relevan serta menjadi panduan kepada pembangunan pendidikan alam sekitar di Sarawak pada masa hadapan.

“Usaha itu selari dengan keperluan memperkasakan generasi muda dengan pengetahuan, nilai dan kemahiran untuk memahami cabaran alam sekitar serta menyumbang kepada pembangunan mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Persidangan Pendidikan Alam Sekitar (EEC) 2026 di sini, hari ini yang dirasmikan oleh Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mewakili Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, pendidikan alam sekitar bukan sekadar menyampaikan pengetahuan, malah membentuk kesedaran, menggalakkan tingkah laku bertanggungjawab dan melahirkan generasi yang mampu membuat keputusan bermaklumat berkaitan pemeliharaan alam sekitar.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata inisiatif Kelab Pencinta Alam Sekitar (PALS) yang diperkenalkan pada 1999 kini berkembang daripada 74 sekolah kepada 1,011 sekolah di Sarawak.

“Daripada jumlah itu, 455 sekolah lagi disasarkan mendaftar sebagai ahli PALS menjelang akhir 2027, dengan NREB menyediakan pelbagai bentuk sokongan bagi memastikan pelaksanaan dan kesinambungan program berkenaan.

“Sokongan itu merangkumi khidmat pemantauan dan nasihat, bantuan kewangan melalui geran, latihan kepada guru penasihat serta bantuan bagi pelaksanaan program dan aktiviti kesedaran alam sekitar,” ujarnya.

Selain sekolah, jelasnya NREB turut melaksanakan program libat urus bersama industri bagi memperkukuh pematuhan peraturan, menggalakkan kawal selia kendiri dan meningkatkan usaha mitigasi perubahan iklim.

Persidangan Pendidikan Alam Sekitar 2026 berlangsung selama dua hari dengan penyertaan 350 peserta, termasuk 35 penceramah dan perwakilan antarabangsa dari 15 negara.

Persidangan itu turut menampilkan lima sesi pleno dan dua pembentangan utama oleh wakil Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) serta Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), dengan tumpuan kepada pendekatan inovatif dalam pendidikan alam sekitar dan usaha melahirkan pemimpin hijau yang berdaya tahan terhadap perubahan iklim.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU