KUCHING: Kementerian Pengangkutan (MOTS) menghubungi syarikat penerbangan dan pengendali bas ekspres bagi meneliti kemungkinan menyediakan perkhidmatan tambahan sebelum serta selepas hari pengundian Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 khususnya melibatkan penerbangan di antara Semenanjung Malaysia dengan Sarawak.
MOTS menerusi kenyataan hari ini memaklumkan langkah berkenaan bertujuan membantu rakyat Sarawak pulang ke kawasan pilihan raya masing-masing untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
“MOTS mengakui ramai rakyat Sarawak bekerja di pelbagai negeri di Semenanjung Malaysia, selain Singapura serta Sabah dan mungkin menghadapi cabaran untuk mengatur perjalanan pulang ketika permintaan perjalanan meningkat,” katanya.
Tambah MOTS, bagi perjalanan udara, pihaknya meminta syarikat penerbangan merancang penambahan kekerapan penerbangan pada minggu sebelum dan minggu selepas hari pengundian bagi menampung keperluan pengundi yang pulang untuk mengundi serta perjalanan kembali selepas itu.
“Bagi perkhidmatan bas ekspres, MOTS menasihati dan menggalakkan pengendali di Sarawak supaya meningkatkan kekerapan perjalanan buat sementara waktu, bermula tiga hari sebelum hingga tiga hari selepas hari pengundian.
“Kementerian turut menggalakkan pengendali bas ekspres menjadualkan perkhidmatan tambahan, menyediakan bas simpanan serta membuka tempahan tiket dalam talian lebih awal bagi mengelakkan kekurangan tiket dan memastikan perjalanan di laluan utama di Sarawak berjalan dengan selamat dan lancar,” ujarnya.
Bagi sebarang perubahan jadual perjalanan bas ekspres, MOTS menyatakan ia masih tertakluk kepada pemberitahuan dan kelulusan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak.
“Manakala, bagi penambahan penerbangan pula bergantung pada keupayaan operasi syarikat penerbangan serta kelulusan yang diperlukan.
“Butiran sebarang penerbangan atau perkhidmatan bas ekspres tambahan, termasuk jadual perjalanan dan ketersediaan tiket, akan diumumkan oleh pengendali masing-masing selepas dimuktamadkan,” tegasnya.
Sementara itu, MOTS menggalakkan orang ramai merancang perjalanan lebih awal serta merujuk saluran rasmi pengendali masing-masing untuk mendapatkan maklumat tepat mengenai jadual perjalanan, tambang dan tempahan.

