KUCHING: Kumpulan Media Sarawak (SMG) meneroka potensi kerjasama media dengan organisasi media Rusia khususnya dalam bidang penyiaran, perkongsian kandungan dan pertukaran budaya.
Ketua Pegawai Eksekutif SMG, Kushairi Abang berkata, kerjasama itu berpotensi membuka peluang perkongsian berita dan kandungan yang mengetengahkan Sarawak, Malaysia, Rusia serta rantau ASEAN kepada khalayak lebih luas.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Duta Besar Persekutuan Rusia ke Malaysia, Naiyl M. Latypov di pejabatnya di sini semalam sekali gus diiringi Kaunselor di Kedutaan Persekutuan Rusia di Malaysia, Aleksei A. Salnikov.
Menurut Kushairi, kunjungan hormat berkenaan menjadi platform pertukaran pandangan potensi kerjasama antara kedua-dua pihak khususnya dalam bidang penyiaran, media dan kandungan kreatif.
“Perbincangan kami memberi tumpuan kepada potensi kerjasama antara TVS dengan organisasi media Rusia khususnya menerusi pertukaran kandungan dan usaha bersama untuk mempromosikan kedua-dua negara.
“Kami melihat peluang untuk berkongsi berita dan kandungan yang mengetengahkan Sarawak, Malaysia, Rusia serta rantau ASEAN yang lebih luas, sekali gus membolehkan penonton memperoleh pemahaman lebih mendalam berkaitan budaya dan perspektif masing-masing,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Tambahnya, perbincangan kedua-dua pihak turut meneroka peluang perkongsian kandungan, pertukaran budaya dan kerjasama media bagi meningkatkan persefahaman antara penonton di Malaysia dengan Rusia.
“Kita juga menekankan potensi kerjasama media dalam menghubungkan penonton serta mengetengahkan kisah dari pelbagai wilayah.
“Perbincangan berkenaan turut melihat peluang pelibatan pada masa hadapan dalam program kebudayaan dan kandungan kreatif, termasuk potensi mengetengahkan warisan budaya kedua-dua negara menerusi platform televisyen dan digital,” ujarnya.
Sehubungan itu, kehadiran delegasi berkenaan juga disambut Kushairi yang turut memperkenalkan TVS menerusi pembentangan korporat operasi penyiaran, kehadiran digital serta komitmennya dalam mengetengahkan Sarawak.
Dalam sesi berkenaan, beliau memperkenalkan TVS sebagai stesen televisyen percuma ke udara (free-to-air atau FTA) yang masih baharu dan ditubuhkan di Sarawak dengan fokus mengetengahkan kisah, budaya, warisan serta potensi negeri itu kepada penonton tempatan dan antarabangsa.
TVS turut berkongsi pengalamannya dalam pelibatan media antarabangsa dan pertukaran kandungan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperluas program serta capaian penonton.
Sebagai penyiar yang berpangkalan di Sarawak dengan capaian seluruh negara serta kehadiran digital yang semakin berkembang, TVS terus meneroka peluang kerjasama media antarabangsa sambil mempromosikan identiti, bakat kreatif dan warisan budaya Sarawak.
Kunjungan hormat itu menyediakan platform untuk dialog konstruktif serta perbincangan lanjut mengenai bidang kepentingan bersama yang berpotensi dalam sektor media dan penyiaran.



