KOTA SAMARAHAN: Pendekatan gamifikasi dalam pendidikan perlu diperluas bagi membantu murid memahami konsep subjek Sains dan Matematik secara lebih interaktif sekali gus memupuk kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif sejak peringkat sekolah rendah.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, pendekatan itu penting dalam memperkukuh pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), selain mempersiapkan generasi muda menghadapi keperluan teknologi dan industri masa hadapan.
Katanya, pendekatan gamifikasi membolehkan murid memahami konsep subjek Matematik dan Sains yang abstrak melalui aktiviti pembelajaran interaktif, penerokaan dan eksperimen.

“Pendekatan gamifikasi ini sangat hebat kerana ia mengubah cara tradisional pengajaran.
Ia juga membolehkan pelajar memvisualisasikan konsep Matematik dan Sains yang abstrak menjadi sesuatu yang nyata, interaktif dan menyeronokkan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Pegawai Tadbir Khas (Pendidikan Tinggi) MEITD, Profesor Emeritus Datuk Dr Khairuddin Ab. Hamid, pada Majlis Penutupan Pertandingan Gamifikasi STEM Peringkat Sarawak di Dewan Jubli, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, di sini, hari ini.
Tambahnya, MEITD mempunyai komitmen yang sangat jelas dan jitu sekali gus komited untuk membina saluran bakat (talent pipeline) yang kukuh dalam menyokong wawasan inovasi, transformasi digital, teknologi hijau serta industri baharu di negeri ini.
“Bagi merealisasikan hasrat besar ini, pendedahan awal kepada elemen STEM mesti dimulakan di peringkat akar umbi, terutamanya di peringkat sekolah rendah, kerana pada fasa inilah sifat ingin tahu kanak-kanak berada di tahap paling tinggi dan tabiat pembelajaran sepanjang hayat mula dibentuk.
“Kami di kementerian sentiasa menyokong program seumpama ini kerana ia sejajar dengan hasrat Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030 Sarawak yang meletakkan pembangunan modal insan bermatlamatkan sains dan teknologi sebagai pemacu utama,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan, kejayaan yang ingin dicapai perlu disertai penilaian jujur dengan cabaran yang sedang dihadapi.
Menurutnya, hasil penemuan daripada The Baseline Research for STEM and English Language in Sarawak dan juga keputusan Ujian Penilaian Program Dwibahasa Sarawak (UP-DLPS) yang pertama kali diadakan baru-baru ini menunjukkan bahawa prestasi pelajar sekolah rendah di Sarawak dalam subjek Matematik dan Sains masih belum mencapai tahap diinginkan.
“Kita sedar bahawa banyak sekolah, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman, masih berdepan dengan kekangan kekurangan kemudahan fizikal makmal STEM serta sumber pembelajaran secara praktikal.
“Para guru juga memerlukan sokongan tambahan dan latihan profesional berterusan untuk mengintegrasikan alat bantu mengajar yang inovatif dengan penuh keyakinan di bilik darjah. Jika jurang ini tidak dirapatkan segera, ia akan membataskan potensi dan peluang kerjaya anak-anak kita pada masa hadapan,” tegasnya.
Beliau memberitahu disebabkan itu program intervensi melalui inovasi pengajaran dan gamifikasi yang diadakan hari ini menjadi satu langkah yang sangat tepat pada masanya.
UiTM Cawangan Sarawak dengan kerjasama rakan strategiknya, Lighthouse of Hope (Sarawak), menganjurkan Pertandingan Gamifikasi STEM Peringkat Sarawak sekali gus menghimpunkan pasukan pelajar berprestasi tinggi yang mewakili tujuh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh Sarawak.
Program itu merupakan Fasa 2 projek “Memperkasa Pembelajaran STEM Melalui Inovasi Pengajaran” yang memberi tumpuan kepada aplikasi praktikal dan penilaian impak menerusi pertandingan.
Peserta layak ke peringkat negeri selepas muncul johan dan naib johan dalam kategori permainan masing-masing pada pertandingan peringkat daerah, sekali gus berpeluang mempamerkan kemahiran menyelesaikan masalah secara praktikal dan pemikiran kritis menerusi gamifikasi STEM.


