ARTIKEL

Sisa berpotensi jana peluang ekonomi baharu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SERIAN: Sarawak perlu mengubah pendekatan pengurusan sisa dengan melihat bahan buangan sebagai sumber yang berpotensi dimanfaatkan semula bagi mewujudkan peluang ekonomi baharu.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, pendekatan ekonomi kitaran bukan sahaja membantu mengurangkan pembaziran, malah membuka ruang kepada pembangunan idea inovatif, perniagaan tempatan dan peluang pekerjaan.

“Selaras dengan aspirasi pembangunan Sarawak, kita perlu mengubah cara kita melihat sisa.

Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berucap pada majlis penutupan program InnoWaste MPHLG 2026.

Bahan yang selama ini dianggap tidak berguna sebenarnya masih berpotensi untuk dimanfaatkan semula.

“Daripada hanya memikirkan cara melupuskan sisa, kita perlu memberikan perhatian kepada usaha mengurangkan penghasilannya, memanjangkan tempoh penggunaan barangan dan mendapatkan semula nilai daripada bahan yang masih boleh digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan program InnoWaste MPHLG 2026 di Dewan DBNA Serian di sini, hari ini.

Sagah berkata, pengurusan sisa dan ekonomi kitaran merupakan antara bidang keutamaan pembangunan Sarawak menerusi Rancangan Malaysia Ketiga Belas Sarawak bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Menurutnya, Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030) dan Pelan Tindakan Kelestarian 2030 turut menekankan kepentingan kelestarian alam sekitar serta penggunaan sumber secara mampan.

Katanya, Pelan Hala Tuju Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Sarawak yang diperkenalkan pada 2025 pula menjadi panduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menerapkan Matlamat Pembangunan Mampan dalam perancangan dan pembangunan kawasan masing-masing.

Dalam pada itu, Sagah berkata, penjagaan alam sekitar memerlukan pelibatan semua pihak, termasuk kerajaan, sekolah, penduduk dan sektor perniagaan.

Beliau berkata, amalan mudah seperti mengurangkan pembaziran makanan, mengasingkan bahan kitar semula, menggunakan semula barangan dan menjaga kebersihan sungai mampu membawa perubahan ketara sekiranya diamalkan secara berterusan.

Beliau sehubungan itu turut menggalakkan golongan pelajar supaya terus mengembangkan idea inovasi yang dihasilkan menerusi program berkenaan, walaupun pertandingan berakhir.

“Anda tidak semestinya perlu mencipta sesuatu yang rumit untuk menjadi seorang inovator. Yang penting adalah sifat ingin tahu, keazaman dan kesungguhan untuk membawa perubahan.

“Karya inovasi yang tidak memenangi pertandingan pada hari ini mungkin berkembang menjadi sesuatu yang berguna pada masa hadapan. Teruskan bertanya, mencuba dan jangan mudah berputus asa sekiranya percubaan pertama anda tidak berjaya,” katanya.

Beliau turut menyeru guru, ibu bapa dan institusi pendidikan supaya terus memupuk kreativiti serta semangat ingin tahu dalam kalangan generasi muda.

Pada masa sama, katanya Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) digalakkan memainkan peranan meningkatkan kesedaran penduduk melalui aktiviti gotong-royong, pengurangan sisa dan amalan kitar semula.

Dalam masa yang sama beliau berharap InnoWaste dapat memperkukuh kerjasama antara sekolah, institusi pengajian tinggi, PBT, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor industri dan masyarakat bagi mengembangkan idea inovatif golongan muda menjadi penyelesaian yang bermanfaat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU