SARATOK: Kumpulan Mix Generation dari Saratok menyasarkan gelaran juara Battle of The Band Sarawak Regatta 2026 yang berlangsung di ibu negeri, malam esok (Rabu).
Ketua kumpulan, Romzi Seron berkata, beliau teruja apabila kumpulan itu berjaya melepasi peringkat saringan pada 17 Oktober lalu, sekali gus melayakkan diri ke pusingan akhir bersama empat kumpulan lain daripada 15 kumpulan yang bertanding.
“Alhamdulillah, Mix Generation layak ke pusingan akhir bersama-sama empat kumpulan lain dan sudah pasti kejayaan menjadi harapan kami,” katanya.
Pada pertengahan Oktober lalu, kumpulan yang ditubuhkan sejak 2018 itu berjaya menjuarai pertandingan Battle of The Band sempena Regata Tandang Sari (RTS) Pusa.
“Sudah pastinya kami ingin mengulangi detik manis itu di pentas Battle of The Band Sarawak Regatta 2026,” ujarnya ringkas.
Sejak ditubuhkan, Mix Generation menyertai pelbagai pertandingan dan meraih pelbagai kemenangan di sekitar Bahagian Betong, selain aktif menghiburkan peminat muzik di kawasan Saribas dan Daerah Saratok.
Dalam kesibukan menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi pertandingan akhir, kumpulan itu turut berkesempatan meluangkan masa bersama-sama Ketua Masyarakat Cina Daerah Saratok, Pemanca Lim Guan Ann.
Lim turut menghulurkan sumbangan bagi membantu memenuhi keperluan kumpulan berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap anak-anak muda dari Daerah Saratok yang berentap dalam pertandingan berprestij itu.
Lim berkata, pelibatan golongan muda dalam aktiviti sihat dan positif seperti muzik wajar digalakkan kerana mampu mengembangkan bakat serta memberi ruang kepada mereka untuk menyerlahkan potensi diri.
“Semoga beroleh kejayaan di pentas akhir Battle of The Band Sarawak Regatta 2026. Buat yang terbaik,” katanya.
Battle of The Band Sarawak Regatta 2026 anjuran Majlis Seni Sarawak menawarkan hadiah wang tunai RM5,000 kepada juara, manakala naib juara menerima RM3,000 dan tempat ketiga RM2,000.


