KUCHING: Sarawak mahu isu jerebu rentas sempadan ditangani dari puncanya menerusi kerjasama bertanggungjawab antara negara, susulan kesan pencemaran udara yang dialami negeri itu sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata Sarawak turut menerima kesan apabila angin membawa jerebu dari kawasan luar sempadan, sekali gus memerlukan pendekatan bersama bagi menangani masalah berkenaan.
“Apabila angin bertiup dari kawasan lain ke Sarawak, kita yang menerima kesannya (jerebu),” katanya.

Beliau berkata demikian mewakili Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika berucap pada Persidangan Pendidikan Alam Sekitar (EEC) 2026 di sini, hari ini.
Beliau berkata isu rentas sempadan memerlukan kerjasama yang bertanggungjawab bagi membangunkan pendekatan berkesan untuk menangani cabaran alam sekitar.
Dalam pada itu, beliau berkata Sarawak kekal komited dengan pembangunan mampan dengan sekurang-kurangnya 62 peratus daripada keseluruhan keluasan tanah negeri itu masih diliputi hutan.
“Sarawak mempunyai keluasan tanah kira-kira 12.4 juta hektar, manakala usaha mengekalkan litupan hutan menyumbang kepada komitmen Malaysia untuk memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan tanah negara kekal di bawah litupan hutan,” tambahnya.
Awang Tengah berkata Sarawak turut meneruskan peralihan kepada tenaga bersih dan boleh baharu dengan memanfaatkan potensi sumber hidroelektrik, selain mempergiat pembangunan tenaga solar dan biojisim.
“Kita amat bertuah kerana mempunyai banyak sungai yang menawarkan potensi besar untuk menjana tenaga boleh baharu melalui pembangunan hidroelektrik, termasuk kaedah empangan bertingkat dan penyimpanan air.
“Kita juga sedang mempergiat pembangunan tenaga solar dan biojisim.
“Pembangunan ekonomi perlu bergerak seiring dengan pemuliharaan alam sekitar bagi memastikan sumber semula jadi terus terpelihara untuk generasi akan datang,” jelasnya.
Justeru, kepentingan pendidikan alam sekitar perlu ditekankan dalam membentuk generasi muda yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan kesedaran untuk menangani cabaran perubahan iklim serta pemuliharaan alam semula jadi.


