KUCHING: Pelaksanaan Sistem Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) serta Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) dicadangkan agar diperluaskan ke seluruh Sarawak.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata, setakat ini Sarawak masih belum melaksanakan kedua-dua sistem berkenaan sepenuhnya dalam operasi pengangkutan darat di negeri ini.
“Langkah ini bukan sekadar menekankan aspek kepatuhan pemandu, malah bertujuan memastikan syarikat pengangkutan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap operasi dan pengurusan pemandu mereka.
“Bagi kesalahan yang bersifat serius, lesen syarikat terbabit berpotensi untuk dibatalkan,” katanya kepada pemberita pada Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya dan Penguatkuasaan JPJ Sarawak di Terminal Bas Kuching Sentral hari ini.
Menurut Hasbi, JISA berfungsi sebagai garis panduan audit bagi menilai tahap pengurusan keselamatan sesebuah syarikat selain memastikan pematuhan terhadap peraturan keselamatan jalan raya dan pekerjaan.
Sistem itu juga jelas beliau berupaya mengenal pasti kelemahan pengurusan supaya tindakan penambahbaikan dapat dilaksanakan dengan segera.
Sementara itu, beliau menyifatkan ICOP sebagai instrumen yang memberikan panduan amalan terbaik kepada syarikat dalam aspek pengurusan pemandu, pematuhan waktu kerja, penyelenggaraan kenderaan serta pengurusan risiko kemalangan.
Beliau menegaskan bahawa aspek penguatkuasaan dan pematuhan standard keselamatan itu tidak seharusnya tertumpu pada musim perayaan semata-mata, sebaliknya perlu dipraktikkan secara konsisten pada setiap masa.
“Dengan kerjasama semua pihak dan amalan pemanduan berhemah, sasaran kerajaan untuk mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang 2030 mampu dicapai,” katanya lagi.
Tambah beliau, langkah proaktif itu akan meningkatkan tahap keselamatan pengangkutan di Sarawak sekali gus memastikan setiap syarikat menggalas tanggungjawab penuh terhadap keselamatan orang awam.
Untuk rekod, JISA merupakan sistem audit yang menilai keberkesanan sistem pengurusan keselamatan sesebuah organisasi bagi memastikan operasi pengangkutan jalan mematuhi piawaian yang ditetapkan.
Manakala ICOP pula menyediakan kerangka amalan terbaik dalam melaksanakan prosedur keselamatan dan kesihatan pekerja yang merangkumi latihan serta kesedaran keselamatan bagi memastikan setiap operasi dijalankan secara selamat dan sistematik.



