ARTIKEL

Datuk Dr Azhar Ahmad (tengah) merakam gambar kenangan bersama-sama agensi kerajaan yang hadir sempena program CSR LI.

LI Sarawak Berpindah Ke Kampus Baharu Di Rampangi Dalam Masa Terdekat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Institut Kepimpinan Penjawat Awam Sarawak (LI) akan berpindah ke kampus baharu di Rampangi dalam masa terdekat selepas projek pembinaan kompleks itu kini hampir siap sepenuhnya.

Ketua Pegawai Eksekutif LI, Datuk Dr. Azhar Ahmad berkata, kampus baharu yang terletak berhampiran Pusat Kecermelangan Teknologi Sarawak (Centex) itu kini berada pada peringkat akhir dengan hanya menunggu kelulusan Permit Menduduki (OP) sebelum mula beroperasi.

Datuk Dr Azhar Ahmad (empat kanan) menyampaikan cenderahati kepada Pengetua Institut Pertanian Semenggoh, Latip Bundan (lima kiri) sambil disaksikan yang lain sempena program CSR LI.

Menurutnya, proses membawa masuk perabot ke bangunan baharu juga giat dijalankan sebagai persediaan perpindahan.

“Kampus baharu ini boleh dikatakan hampir siap sepenuhnya. Kita kini hanya menunggu kelulusan OP dan selepas itu perpindahan akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya ketika berucap pada Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) LI 2026 di Dewan Serbaguna Institut Pertanian (AI) Semenggoh, hari ini.

Sehubungan itu beliau berkata, program berkenaan diadakan sebagai tanda penghargaan kepada rakan-rakan strategik dan komuniti sekitar Semenggoh yang menjadi jiran serta menyokong LI sepanjang dua dekad beroperasi di kawasan itu.

Datuk Dr Azhar Ahmad berucap sempena program CSR LI.

Katanya, sepanjang 20 tahun berada di Semenggoh, LI bukan sahaja membina hubungan erat dengan AI Semenggoh, malah turut menjalinkan kerjasama dengan pelbagai institusi dan agensi di kawasan berkenaan.

“Kita mahu meninggalkan Semenggoh dengan kenangan yang baik. Hubungan yang terjalin selama ini tidak akan terputus walaupun LI berpindah ke lokasi baharu,” ujarnya.

Beliau turut menyifatkan persekitaran Semenggoh yang hijau, tenang dan kondusif sebagai antara faktor yang mewujudkan ekosistem kerja positif serta menyumbang kepada pembangunan kepimpinan penjawat awam negeri.

Pada masa yang sama, beliau berkata, perpindahan ke kampus baharu bukan bermakna hubungan dengan komuniti dan rakan kolaborasi berakhir, sebaliknya akan terus diperkukuh menerusi pelbagai program pada masa hadapan.

Mengulas peranan penjawat awam, beliau mengingatkan seluruh warga LI supaya terus menghayati agenda pembangunan negeri dan memainkan peranan sebagai satu pasukan dalam merealisasikan visi kemajuan Sarawak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU