KUALA LUMPUR: Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) menggariskan empat agenda utama tahun ini bagi memperkasakan industri insurans negara dan meningkatkan kesedaran mengenai insurans serta perlindungan kewangan dalam kalangan rakyat.
Presiden LIAM Raymond Lew berkata kesemua agenda itu ialah Pelan Tindakan Sektor Kewangan (FSBP) 2022-2026, meningkatkan agenda pendidikan kewangan menerusi perkongsian bersama Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN), meningkatkan perlindungan sosial komuniti B40 serta merapatkan jurang perlindungan di Malaysia.
“Bagi FSBP oleh Bank Negara Malaysia, LIAM telah menggariskan pelan hala tuju lima tahun dan mengenal pasti peranan serta keutamaan industri ke arah mencapai agenda FSBP. Antara teras strategik utama ialah meningkatkan keupayaan kewangan dan akses, memajukan digitalisasi serta membangunkan standard profesional.
“Memandangkan LIAM menjadi rakan usaha sama FEN bermula 2023, ini akan menyediakan peluang besar kepada kami untuk melaksanakan pelbagai kempen kesedaran dan inisiatif celik kewangan serta memupuk perlindungan pengguna kewangan dalam kalangan orang ramai,” katanya selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Hari Raya LIAM 2023 di sini hari ini.
Beliau berkata LIAM kekal komited dalam meneruskan agenda rangkuman kewangannya dan aspirasi negara dalam meningkatkan kadar penembusan serta merapatkan jurang perlindungan insurans di negara.
“Kadar penembusan insurans hayat dan takaful keluarga ialah 59.5 peratus pada 2021. Sekiranya kita mengambil kira pemegang polisi yang memiliki pelbagai polisi, peratusan itu berkurangan kepada 41 peratus, bermakna hanya empat daripada 10 rakyat Malaysia memiliki insurans hayat.
“Sememangnya kadar penembusan negara masih rendah berbanding negara maju dengan 100 peratus (perlindungan insurans). Purata jumlah diinsuranskan di negara ini masih dalam lingkungan RM80,000, iaitu masih tidak mencukupi,” katanya.
Mengulas mengenai Kertas Putih ke arah mereformasikan sistem kewangan penjagaan kesihatan yang akan dibentangkan di Parlimen, Ketua Pegawai Eksekutif LIAM Mark O’Dell berkata inisiatif oleh kerajaan itu mampu mencetus kepada ekosistem penjagaan kesihatan dan insurans yang lebih baik.
Beliau berkata Kertas Putih itu yang akan menangani pelbagai aspek seperti penjagaan kesihatan primer, perkongsian awam dan swasta serta pembiayaan penjagaan kesihatan, akan memanfaatkan semua sektor termasuk pengguna.
Menurut O’Dell, LIAM pada masa ini sedang melaksanakan kempen yang dikenali Cabaran Kesejahteraan Sosial #NoFOMO menerusi siri jelajah di universiti dan kolej seluruh negara dan kempen berkenaan akan diakhiri dengan Festival Belia #NoFOMO 2023 di UiTM Puncak Alam pada 22 Jun ini.
“Program ini menyasarkan untuk menerapkan tabiat kesejahteraan dalam kalangan belia, memberi inspirasi dan memupuk mereka untuk menjadi kreatif dan inovatif sekali gus menggalakkan kepentingan perancangan dan perlindungan kewangan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata majlis hari ini meraikan seramai 120 kanak-kanak dan remaja dari empat rumah kebajikan bersama-sama penjaga mereka selain 300 pihak berkepentingan industri, pengawal selia serta rakan kongsi perniagaan dan syarikat ahli persatuan itu.
Empat rumah kebajikan berkenaan iaitu Rumah Anak Yatim Teratak Che Dah, Yayasan Chow Kit, Pertubuhan Rumah Kebajikan Kanak-kanak Home of Peace dan Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim dan Asnaf Baitun Nurrawdhah turut menerima barangan keperluan bernilai RM20,000 sumbangan LIAM serta Malaysian Life Reinsurance Group Berhad.- BERNAMA






