KUCHING: Machan FC akhirnya berjaya beroleh kemenangan dalam kempen Liga A1 Semi-Pro 2024.
Ia hasil kemenangan (2-0) dicatat ke atas KL Rovers di Stadium Negeri, Petra Jaya petang tadi.
Sentuhan penyudah hebat dua bintang berpengalaman, Ashri Chuchu dan Abdul Rahman Ismawi penyumbang perolehan tiga mata berharga buat Machan FC apabila masing-masing menyumbat gol pada minit ke-29 dan 65.
Sekali gus, kemenangan pertama Machan FC musim ini selepas mengharungi lima perlawanan.
“Cukup gembira dengan kemenangan ini, syabas dan tahniah kepada semua pemain ke atas kerja keras mereka pada perlawanan tersebut,” ujar Presiden Kelab Bola Sepak Machan FC, Azizie Fauzi kepada Arena Suara Sarawak.
Azizie berharap kemenangan tersebut menjadi detik kebangkitan pasukannya untuk mengharungi perlawanan lain selepas ini.


