Liga Premier: Kuching FA  buru kemenangan sulung

WALAUPUN perlawanan menentang UKM FC di Stadium Sarawak pada jam 8.15 malam Sabtu (29 Februari) hanyalah aksi pertama, namun bagi tonggak Kuching FA, Joseph Kallang Tie ia amat penting.

Malah bagi bekas pemain Malaysia itu, keputusan dalam aksi pertama bakal menentukan tahap kekuatan pasukan.

“Ia adalah hari yang amat penting bagi kami untuk menentukan hala tuju pasukan.

“Oleh itu, para pemain harus memberikan aksi terbaik mereka,” kata Joseph.

Namun bekas pemain Pahang, Selangor dan Terengganu itu enggan meramal secara terbuka tentang peluang.

“Peluang untuk menang tidak pasti, tetapi kami akan bertungkus-lumus untuk mendapatkan tiga mata pertama.

“Perlawanan di tempat sendiri wajar dimanfaatkan sebaik mungkin,” katanya.

Untuk itu, beliau menasihatkan rakan seperjuangan agar sentiasa fokus sepanjang perlawanan, serta mengikut apa yang dirancang dan diarahkan.

“Kalau boleh kurangkanlah kesilapan, terutama kesilapan mudah yang boleh membawa padah,” ujarnya.

Joseph djangka akan bergandingan dengan penyerang import dari Brazil, Hudson Dias yang juga bekas pemain Sarawak 2019.

Yang pasti, Kuching FA akan turun tanpa seorang lagi penyerang import, Leonardo Alves yang mengalami kecederaan serius di lulut.

Namun bagi Joseph, ia tidak mengganggu persiapan dan semangat para pemain.

“Saya berharap ramai peminat akan datang ke stadium bagi menyemarakkan suasana,” jelas bekas pemain Sarawak itu.

Suara Sarawak