KUCHING: Skuad warga kota, Kuching, turun dengan misi serampang dua mata apabila berdepan Limbang pada aksi suku akhir pertama saingan Liga Premier Sarawak di Stadium Negeri, Petra Jaya, Sabtu ini.
Pasukan ini bukan sahaja mahu meraih kemenangan tetapi juga memastikan kelebihan gol diperoleh sepanjang tempoh perlawanan. Keupayaan untuk menjaringkan gol dalam jumlah besar amat penting sebagai bekalan menghadapi perlawanan timbal balik di Limbang seminggu kemudian.
Ketua jurulatih, Nizam Mahmud, menegaskan bahawa ia bukan satu tugas mudah untuk direalisasikan memandangkan status pasukan pelawat yang berwatak pencabar.
“Kami tidak boleh ambil mudah perlawanan menentang Limbang hujung minggu ini. Limbang pasti akan tampil dengan strategi rahsia mereka, jadi kami perlu berhati-hati,” ujar Nizam kepada Arena Suara Sarawak.
Nizam percaya perlawanan pada petang esok agak berbeza berbanding aksi peringkat liga kumpulan sebelum ini.
“Tempoh rehat beberapa minggu lalu digunakan dengan sebaiknya untuk memperkemas kelemahan di setiap posisi. Diharap pemain dapat menterjemahkan strategi yang akan diguna pakai dengan berkesan pada perlawanan sebenar,” jelasnya.
Tambah Nizam, pemainnya kini berada dalam keadaan siap sedia untuk turun menghadapi perlawanan penting itu.
“Semua pemain kini berada dalam keadaan yang baik, dan saya akan menurunkan barisan kesebelasan terbaik,” kata Nizam.



