KOTA SAMARAHAN: Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Samarahan (PBBS), Mohamad Azri Johari mengakui, misi serampang dua mata menjadi fokus utama pemainnya untuk perlawanan menentang Serian di Stadium Terbuka Kota Samarahan Sabtu ini (22 November).
Beliau mahu memastikan kemenangan dapat diperoleh sekali gus membalas dendam rentetan kekalahan (2-0) pada pusingan pertama sebelum ini.
Malah, pertemuan kali kedua dengan Serian hujung minggu ini juga menjadi peluang untuk merampas kedudukan selaku pendahulu Zon Selatan.
“Perlawanan Sabtu ini ibarat ‘final’ kerana masing-masing mahu cuba memastikan kemenangan.
“Begitu juga bagi Samarahan yang mahu memastikan tiga mata dapat dicapai sekali gus dapat merampas kedudukan teratas,” ujar Azri kepada Arena Suara Sarawak.
Menurut Azri, Serian masih mengekalkan rekod kemenangan, tetapi perlawanan Sabtu ini akan menjadi detik sebenar bagi mereka.
“Samarahan akan memberi tentangan habis-habisan untuk menebus kekalahan lepas, harap kemenangan akan memihak kepada kami,” tambah Azri.
Beliau memberi jaminan bahawa Samarahan akan turun dengan barisan terbaik untuk menghadapi gelora sebenar daripada Serian.
“Pemain akan turun dengan semangat ‘anak jati Samarahan’ pada perlawanan itu nanti,” katanya.



