ARTIKEL

PRESIDEN PBBS, Mohammad Azri Johari.

LIGA PREMIER SARAWAK 2025: Simunjan destinasi pertama PBBS pilih pemain

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Persatuan Bola Sepak Bahagian Samarahan (PBBS) akan mengadakan sesi pemilihan pemain untuk membentuk pasukan bagi menghadapi Liga Premier Sarawak 2025 yang akan bermula dari bulan September hingga November depan.

Presiden PBBS, Mohammad Azri Johari memberitahu sesi pemilihan akan berlangsung di empat lokasi berbeza bermula di Stadium Simunjan pada Sabtu, 2 Ogos ini.

Pemilihan seterusnya akan diadakan di padang Sekolah Kebangsaan Pendam, Sadong Jaya pada 3 Ogos, padang Kampung Sambir, Asajaya pada 9 Ogos dan Stadium Terbuka Kota Samarahan pada 10 Ogos.

“Pihak kami menyeru pemain pelbagai peringkat umur untuk turut serta dalam sesi pemilihan di semua empat kawasan terbabit.

Untuk makluman, sesi pemilihan di tiga kawasan iaitu Stadium Simunjan, Sadong Jaya dan Kampung Sambir akan bermula pada pukul 2:00 petang.

Sebaliknya, sesi pemilihan di Stadium Terbuka Kota Samarahan akan bermula pada pukul 8:00 pagi,” ujar Azri kepada Arena Suara Sarawak.

Beliau menegaskan bahawa PBBS komited untuk menghadapi kempen berprestij itu.

Justeru, pihaknya mengadakan sesi pemilihan pemain di empat lokasi terbabit.

Sebagaimana yang diumumkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Datuk Fazzrudin Abdul Rahman sebelum ini, penganjuran liga tersebut menggunakan format perlawanan secara timbal balik (home and away). Setiap pasukan yang mewakili bahagian masing-masing bebas menyertakan pemain pelbagai peringkat umur dan tanpa menggunakan pemain import dari bahagian lain.

Dengan kata lain, pemain hanya akan beraksi untuk bahagian masing-masing kecuali mereka yang sudah lama bermastautin di bahagian tersebut sama ada kerana bekerja atau telah berumah tangga.

“Kami menyambut baik format sebagaimana yang diumumkan oleh Presiden FAS (Datuk Fazzrudin Abdul Rahman) sebelum ini,” tambah Azri.

Penganjuran Liga Premier Sarawak 2025 bertujuan untuk memperkukuh pembangunan sukan bola sepak di peringkat akar umbi dan mencungkil bakat baharu dari setiap bahagian di Sarawak.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk menghidupkan semula kemeriahan bola sepak di setiap bahagian.

Pelaksanaan liga tersebut merupakan langkah penting untuk menyusun semula struktur bola sepak negeri di samping membuka lebih banyak ruang kepada penyertaan pemain, jurulatih dan penggiat sukan tempatan.

BERITA LAIN

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha