KOTA SAMARAHAN: Persatuan Bola Sepak Bahagian Samarahan (PBBS) mengumumkan dua jurulatih dengan kredibiliti tersendiri iaitu Idris Untong dan Awang Jobli Awang Bidin untuk dipertanggungjawab membentuk pasukan Samarahan bagi Liga Premier Sarawak 2026.
Presiden PBBS, Mohd. Azri Johari memberitahu, mesyuarat barisan exco badan induk berkenaan baru-baru ini bersetuju menggabungkan dua jurulatih legenda berbeza persepsinya sebagai arkitek bagi membentuk skuad Samarahan.
“Kita memuktamadkan keputusan untuk mengekalkan kedudukan Idris Untong sebagai ketua jurulatih. Manakala, Awang Jobli Awang Bidin pembantunya,” ujar Azri kepada Arena Suara Sarawak.
Menurut Azri, pihaknya yakin gabungan kudrat kedua-dua jurulatih berkenaan dalam membentuk skuad Samarahan berwajah baharu dapat mencapai sasaran yang diinginkan.
Tegas Azri, kedua-dua jurulatih berkenaan mempunyai reputasi dan pencapaian yang cukup hebat di arena bola sepak tempatan.
Saingan musim lepas, Idris yang mengemudi skuad Samarahan pada pertengahan saingan berjaya membawa skuad terbabit menduduki tempat ketiga kempen Liga Premier Sarawak 2025/2026 dan bergelar naib juara Piala Premier Sarawak 2025/2026.
Mereka tewas dengan jaringan 3-1 di tangan Bintulu pada aksi final yang berlangsung di Stadium Sarawak, Petra Jaya.
Awang Jobli Awang Bidin pada zaman kegemilangannya berjaya meletakkan skuad DBKU di kelas tersendiri.
Beliau juga pernah membawa Samarahan bergelar juara Piala Sarawak 2008.


