SERIAN: Juara Zon Selatan, Serian siap siaga berdepan Kuching dalam aksi terakhir mereka di Kompleks Sukan Siburan petang esok (Sabtu).
Serian turun dengan misi serampang dua mata — mahu mencetak kemenangan terakhir peringkat kumpulan dan cuba memastikan rekod tanpa kalah yang dimiliki ketika ini dikekalkan.
Pengurus pasukan, Mohamad Azlan Sebi menegaskan, kemenangan menjadi fokus utama pasukannya dalam perlawanan menentang Kuching petang esok.
“Walaupun sudah sah bergelar juara Zon Selatan, ia bukan alasan untuk kami mengambil mudah perlawanan petang esok.

“Tiga mata tetap menjadi buruan kami,” ujar Azlan kepada Arena Suara Sarawak.
Dalam pada itu, Azlan mengingatkan pemainnya agar memberi komitmen sepenuhnya sepanjang tempoh perlawanan kelak.
“Kita percaya seteru rapat kami (Kuching) akan turun dengan semangat juang luar biasa dalam usaha mereka mencetak kemenangan.
“Diharap pemain dapat memberi komitmen sepenuhnya. Mereka harus bijak memanfaatkan peluang terhidang sepanjang tempoh 90 minit permainan sebenar nanti,” tambah Azlan.
Beliau akui, tempoh rehat seminggu lepas digunakan dengan sebaik mungkin oleh ketua jurulatih (Edward Jamid Unting) untuk memperkemas jentera di semua posisi.
“Saya percaya beliau (Edward Jamid Unting) sudah menyediakan pelan khas untuk perlawanan petang esok,” jelas beliau.


