KOTA SAMARAHAN: Skuad Gedong Unity kembali memberi tekanan setelah barisan kendalian Rozaini Romainor berjaya menempatkan diri di kedudukan kedua carta Liga Samarahan 2026 ketika ini.
Kemenangan selesa 4-0 dicatat ke atas D’Cederio FC pada aksi keempat di padang sintetik UNIMAS petang semalam menyaksikan Gedong Unity mengumpul tujuh mata.
“Tiga mata yang cukup berharga bagi kami hasil kemenangan (4-0) dicatat ke atas D’Cederio FC semalam.
“Segala perancangan kami menjadi dan pemain berjaya menterjemah strategi yang diguna pakai dengan begitu baik,” ujar Rozaini kepada Arena Suara Sarawak.
Memang beliau akui barisan kesebelasan utama diturunkan semalam diberi tentangan sengit pasukan lawan.
Namun, situasi tersebut berjaya diatasi dan Rozaini berharap pemainnya dapat mengekalkan momentum tersebut untuk baki perlawanan yang ada selepas ini.



